HAPUS BUDAYA TAGIH KONTRAK, SAHAM - TENGKU ADNAN


GENTING HIGHLANDS 19 Mei – Ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO diminta membuang sikap terlalu mengharapkan kontrak dan saham daripada kerajaan kerana ia akan menjejaskan usaha parti bagi melahirkan golongan pelapis yang sanggup bekerja kuat untuk memajukan orang Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sikap itu yang wujud pada sekitar 1980-an ketika pergerakan itu diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibasmi sepenuhnya kerana ia hanya akan melemahkan parti.

‘‘Ketika itu, saya sebagai Bendahari Pemuda telah menegur Anwar kerana sibuk mengagihkan saham-saham syarikat kepada ketua-ketua Pemuda di peringkat cawangan, bahagian dan negeri kerana bimbang ia hanya akan melahirkan generasi pemalas.

"Kebimbangan saya ini akhirnya menjadi kenyataan apabila saham berkenaan dijual untuk membeli rumah dan kereta baru dan bukannya dijadikan modal untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pengucapan Awam Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ahli MT yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Pelancongan berkata, ahli-ahli Pemuda UMNO perlu banyak membaca bagi membolehkan mereka mendapatkan fakta-fakta tepat untuk digunakan ketika berkempen dalam pilihan raya.

"Saya tertarik dengan kempen Pergerakan Pemuda UMNO pada pilihan raya kecil di Ijok yang diketuai Naib Ketua, Khairy Jamaluddin kerana ia dilakukan dengan bersemangat sekali.

"Saya berharap semangat seperti ini diteruskan kerana kita tidak mahu ahli-ahli Pemuda menjadi lembek dan longlai ketika berkempen melawan pembangkang," tegasnya.

Sementara itu, Mohamad Norza dalam ucapannya berkata, sebanyak empat ahli Pemuda di setiap bahagian di Wilayah Persekutuan akan dilatih menjadi pemidato sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.Oleh: NIZAM YATIM

Baca Seterusnya!
TMM 2007 DILANJUT HINGGA 2008


KUALA LUMPUR 24 April – Kerajaan melanjutkan tempoh promosi Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM) sehingga tahun depan bagi memberi peluang lebih ramai pelancong melihat pelbagai keunikan dan kejayaan pembangunan negara sejak 50 tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, keputusan melanjutkan tempoh promosi itu sehingga tahun depan dibuat setelah mengambil kira sambutan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara yang berlarutan sehingga 2008 maka sewajarnya promosi TMM dilanjutkan juga.

"Selain keindahan negara, Malaysia juga boleh mempamerkan sikap toleran dan pembangunan yang dicapai selama 50 tahun itu," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (BN-Larut) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Raja Ahmad Zainuddin ingin tahu mengapa kementerian melanjutkan tempoh promosi TMM 2007 hingga tahun depan.

Tengku Adnan menolak tanggapan sesetengah pihak kononnya keputusan melanjutkan tempoh promosi TMM adalah disebabkan masalah kekurangan kedatangan pelancong ke negara ini.

Kemasukan pelancong jelas beliau, bukan masalah kerana dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini bilangan mereka yang mengunjungi negara ini ialah seramai 3.1 juta orang, meningkat 9.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menjawab soalan asal Raja Ahmad Zainuddin sama ada penganjuran festival dan anugerah bertaraf antarabangsa berjaya menarik lebih ramai pelancong sempena TMM 2007, beliau berkata, penganjuran Global Indian Film award (GIFA) dan Anugerah Zine Cine ke-10 yang diadakan baru-baru ini berjaya menarik peminat artis Bollywood datang ke Malaysia.

"Selain itu, negara kita akan dapat publisiti meluas memandangkan kebanyakan festival dan anugerah bertaraf antarabangsa mempunyai pelan promosi yang memberangsangkan kerana mendapat liputan meluas daripada media," katanya.

Baca Seterusnya!
PASARAN ARAB SAUDI PENGGERAK PELANCONGAN MALAYSIA - TENGKU ADNAN
JEDDAH 6 Mei – Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia dari Arab Saudi mungkin lebih kecil berbanding negara lain namun ia masih pasaran yang penting kepada penggerak industri pelancongan di Malaysia, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Pelancong dari Arab Saudi dan negara Timur Tengah yang lain sangat penting kepada Malaysia memandangkan mereka tinggal lebih lama di negara ini dan berbelanja tiga kali ganda berbanding pelancong lain, kata beliau kepada pemberita di sini malam semalam.

Tahun lalu, Malaysia menerima 17.54 juta pelancong, 186,821 daripada mereka dari Timur Tengah, dan ini membawa kepada pendapatan keseluruhan berjumlah RM36.3 bilion.

Ketibaan pelancong dari Arab Saudi ke Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 26.1 peratus kepada 67,679 orang pada 2006, meningkat daripada 53,682 orang pada 2005.

Tengku Adnan berkata: “Kami telahpun menyaksikan banyak peningkatan (daripada segi ketibaan pelancong) di sini dan kami mahu memperkukuhkan kedudukan kami di sini. Saya berada di sini untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh penggerak industri dalam membawa pelanggan mereka ke Malaysia, selain mendengar cadangan yang mereka kemukakan.”

Beliau berkata, Malaysia berminat menarik kedatangan bukan sahaja warga Arab Saudi ke Malaysia tetapi juga kalangan ekspatriat yang bekerja di sini memandangkan Malaysia adalah destinasi percutian sepanjang tahun yang selamat dan mempunyai banyak untuk ditawarkan, misalnya beraneka makanan dan warisan kebudayaan disebabkan penduduk negara ini yang pelbagai kaum serta budaya.

Tengku Adnan berkata, penduduk Arab Saudi juga seharusnya mengambil peluang daripada kira-kira 500 institusi pengajian tinggi yang ada di negara ini, dan ada di antaranya menawarkan program berkembar dengan universiti dari Amerika Syarikat, United Kingdom serta Australia.

Selain itu, ibu bapa di Arab Saudi hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang lebih rendah untuk menghantar anak mereka mengikuti program berkembar di Malaysia berbanding dengan ketiga-tiga negara berkenaan dan mereka tidak akan menghadapi gangguan di sini hanya kerana mereka beragama Islam serta berketurunan Arab, tidak seperti di dunia Barat, katanya.

Tengku Adnan berkata kementeriannya mahu melihat lebih banyak kerjasama daripada pengendali penerbangan di Malaysia misalnya Malaysia Airlines, Firefly dan AirAsia bagi mempromosikan destinasi seperti Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Baharu dengan menyediakan penerbangan sambungan kepada penerbangan dari Timur Tengah ke Kuala Lumpur.

Di samping kerjasama syarikat penerbangan beliau berkata, kementerian juga menjalin usaha sama dengan pengusaha pelancongan di Arab Saudi bagi mempromosikan destinasi pelancongan baru di Pantai Timur Malaysia dan bukannya memberi tumpuan kepada destinasi yang sudahpun mantap seperti Kuala Lumpur, Genting Highlands serta Pulau Pinang.Daripada MUAMMAR KAMARUDIN
– Bernama

Baca Seterusnya!
LAWATAN MU - PENDIRIAN MALAYSIA
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan berkeras dengan pendirian asal untuk terus menganjurkan kedatangan juara Liga Perdana England (EPL), Manchester United (MU) ke sini pada 27 Julai ini selepas mendapat sokongan Kabinet dalam mesyuaratnya, semalam.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, United boleh datang dan bermain di Malaysia seperti yang dijadualkan biarpun dalam masa yang sama, Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) bertegas melarang perlawanan dengan Red Devils diadakan sepanjang Piala Asia dari 7 hingga 29 Julai.

Kata Tengku Adnan, MU hanya datang untuk mengadakan satu perlawanan persahabatan dengan Pilihan Malaysia dan membantu kerajaan dalam membangunkan sukan bola sepak di negara ini dan bukannya satu pertandingan yang mampu menyaingi dan menjejaskan Piala Asia.

“Saya tidak mengerti apa maksud Mohamed Hammam (Presiden AFC) dan apa yang difikirkannya. Saya fikir dia patut melihat atau sekurang-kurangnya bertolak ansur kerana perlawanan akhir (Piala Asia) pun tidak dimainkan di Kuala Lumpur tetapi di Jakarta (29 Julai). MU akan bermain 27 Julai, jadi apa masalahnya?

“Kita mahu MU datang kerana kata mereka, Malaysia ibarat rumah kedua mereka. Peminatnya juga ramai di sini dan kita mahu memberikan peluang kepada mereka dan peminat bola sepak lain menyaksikan mereka,” katanya di pejabatnya, semalam.

Menurut Tengku Adnan, kerajaan masih bertegas untuk berbuat demikian kerana ia merupakan salah satu program meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50 dan sempena Tahun Melawat Malaysia 2007.

“Saya juga mempromosi Piala Asia apabila berada di luar negara (atas urusan rasmi kerajaan). Kita tidak minta pun duit dia (AFC) tetapi kita dan Tourism Malaysia bergerak ke seluruh dunia sambil mempromosi pertandingan AFC itu malah kita melakukannya semata-mata demi kepentingan bola sepak,” tegasnya.

Ditanya sama ada ketegasan kerajaan ini bakal mendorong AFC menyaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana melanggar Perjanjian Penganjuran Persatuan (AOA) Piala Asia, kata Tengku Adnan, “mereka boleh saman kita, biarlah, apa nak buat tetapi kami akan menyokong FAM.”

Tengku Adnan juga menafikan kerajaan membelanjakan sehingga RM10 juta untuk membawa United ke Malaysia sebaliknya berkata, “ini daya usaha sektor swasta. Kami hanya menyokong dan hanya menaja kelab itu ketika musim EPL. Yang ini (datang ke Malaysia), kami tidak keluar wang.”

Baca Seterusnya!
LAWATAN MU, KEPUTUSAN KERAJAAN SUDAH DIMAKLUMKAN - TENGKU ADNAN


KUALA LUMPUR – Juara Liga Perdana England, Manchester United tidak dapat beraksi di Malaysia pada Julai ini tanpa kebenaran rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), demikian menurut laman web rasmi kelab berkenaan.

Laman web itu turut menyebut bahawa Pengerusi Liga Perdana Inggeris Dave Richards dan Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, David Gill, kelmarin mengadakan beberapa siri mesyuarat dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Azalina Othman Said, Presiden AFC Mohamed Hammam dan wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan perkara itu.

Hasil mesyuarat itu tidak seperti yang dijangkakan. FAM masih terikat dengan perjanjian untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2007 dari 7 hingga 29 Julai ini, kata laman web itu.

Kelab itu bagaimanapun masih yakin segala masalah yang timbul itu dapat diselesaikan.

Kelab yang terkenal dengan gelaran `Red Devils’ itu turut menyatakan komitmen untuk bermain di hadapan penyokong mereka di Malaysia sempena sambutan ke-50 tahun kemerdekaan negara.

AFC sebelum ini mahu FAM membatalkan perlawanan persahabatan itu kerana ia bertembung dengan kejohanan Piala Asia yang akan berlangsung di Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Thailand dari 9 hingga 29 Julai ini.

Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam memutuskan bahawa kunjungan Manchester United ke sini akan tetap diteruskan mengikut perancangan.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau telah memaklumkan secara lisan kepada kelab itu mengenai keputusan kerajaan dan persiapan akan dibuat bagi memudahkan kedatangan mereka.

Perlawanan persahabatan antara kelab itu dan pilihan Malaysia dijadual pada 27 Julai ini.

Hammam dalam kenyataannya mengulangi pendirian AFC bahawa tarikh perlawanan persahabatan itu perlu diubah bagi memastikan ia tidak bertembung dengan Piala Asia.

– Bernama

Baca Seterusnya!
USAHA MAJUKAN PELANCONGAN - PERDANA MENTERI

PUTRAJAYA 26 Mei 2007 – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan telah melaksanakan dasar dan strategi tertentu supaya kegiatan pelancongan di negara ini dapat dijayakan dengan sebaik mungkin.

Namun, Perdana Menteri berkata, kejayaan pelaksanaan strategi itu amat bergantung kepada sejauh mana rakyat Malaysia dapat memberikan respons dan menunjukkan kesediaan untuk mengambil bahagian bagi menjayakan acara-acara yang diatur oleh kerajaan.

"Peranan rakyat amat penting untuk memajukan industri pelancongan, lebih-lebih lagi kita mahu rakyat Malaysia menyambutnya sepanjang tahun bukan hanya pada waktu diadakan perayaan yang berkaitan pelancongan.

"Kita mahu sepanjang tahun rakyat dapat menunjukkan budi pekerti tinggi, mesra dengan sesiapa jua yang datang dari luar dan bersedia menolong pelancong," kata Abdullah ketika berucap pada majlis pelancaran Citrawarna Malaysia 2007 di Dataran Putrajaya di sini malam ini.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan beberapa menteri Kabinet serta Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman.

Seramai 70,000 orang menyaksikan majlis pelancaran Citrawarna 2007 yang bertemakan ‘Sejuta Warna, Sejuta Senyuman’.

Menurut Perdana Menteri, rakyat Malaysia yang berbilang kaum hidup dalam keadaan aman, selamat, menghormati sesama sendiri walaupun berlainan agama dan keturunan.

“Sungguhpun agama dan keturunan berlainan tapi kita buktikan kita boleh menjaga hubungan kaum yang baik,” katanya.

Pelbagai acara dipersembahkan pada pelancaran Citrawarna malam ini termasuk persembahan tarian Melayu, Cina, India, Orang Asli dan penduduk pribumi Sabah serta Sarawak.

Pertunjukan wayang kulit yang berskala besar turut diadakan sepanjang majlis itu. Kemuncak acara ialah pertunjukan bunga api pelbagai corak selama kira-kira lima minit.

Perdana Menteri berkata, walaupun negara ini kecil tetapi kejayaan yang dicapai adalah amat besar hasil sumbangan generasi dan pimpinan terdahulu yang telah membawa Malaysia hingga ke tahap ini setelah 50 tahun negara merdeka.

Bagi rakyat negara luar, katanya, mereka menganggap kejayaan itu sebagai di luar jangkaan tetapi sebenarnya ia adalah hasil sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap negara.

"Kita mendapat kejayaan besar dalam pelbagai bidang. Semuanya adalah hasil usaha gigih rakyat yang bersedia menyahut seruan kerajaan dan melaksanakan dasar-dasar yang ditentukan oleh kerajaan," katanya.

Dasar-dasar itu, ujar beliau, diperkenalkan demi masa depan negara dan keselesaan rakyat kerana jika negara terus aman, selamat dan membangun, Malaysia akan tetap menjadi tarikan pelancong.

"Industri pelancongan menunjukkan potensi besar. Pada 2005, jumlah pendapatan daripada industri berkenaan ialah RM31 bilion sementara pada tahun lepas, hasil pendapatan ialah RM36.2 bilion. Ini adalah kejayaan daripada dasar penggalakan pelancongan," katanya.
Oleh: HABIBAH OMAR dan HASHNAN ABDULLAH

Baca Seterusnya!
KELUARGA TERLIBAT DI BERI PILIHAN - TENGKU ADNAN
Ahli Parlimen Putrajaya Dato' Seri Tengku Adnan dan isteri bergotong royong memasak di pusat pemindahan sementara mangsa tanah runtuh di Putrajaya


PUTRAJAYA: Sebanyak 335 keluarga dari Pangsapuri Fasa 11 Presint 9 di sini, yang dipindahkan berikutan kejadian tanah runtuh awal pagi kelmarin, diberi pilihan sama ada ingin kembali ke rumah masing-masing selepas ini atau terus menetap di Pangsapuri Presint 14, yang menjadi penempatan sementara mereka ketika ini.

Ahli Parlimen Putrajaya yang juga Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata walaupun kajian menunjukkan kawasan pangsapuri itu selamat, penduduk boleh membuat pilihan untuk berpindah atau terus tinggal di pangsapuri lama.

“Keputusan ini dicapai dalam perbincangan antara Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Datuk Khairudin Samad dengan anggota Perbadanan Putrajaya dan Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri (JPM), semalam (kelmarin).

Tengku Adnan berkata, Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman memaklumkan pihaknya bersedia membenarkan kakitangan kerajaan terbabit terus tinggal di Pangsapuri Presint 14.

“Terserah pada mereka... jika mereka hendak terus tinggal di sini, kami benarkan dan mereka bebas membuat pilihan,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa kejadian tanah runtuh, sejurus tiba dari Phuket, Thailand, petang semalam.

Pada lawatan hampir satu jam itu, Tengku Adnan diiringi isterinya, Datin Seri Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Pemangku Superintendan Ab Razak Ab Majid.

Lebih 1,200 penduduk pangsapuri berkenaan dipindahkan selepas kejadian tanah runtuh kira-kira jam 4 pagi kelmarin yang mengakibatkan 25 kereta yang diletakkan di kawasan letak kereta berhampiran Blok B tertimbus.

Mereka ditempatkan di situ dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan siasatan bagi mencari punca kejadian itu dijalankan pihak berkenaan.

Sebelum itu, Tengku Adnan melawat lokasi kejadian dan menyaksikan operasi mengeluarkan kereta dari timbunan tanah oleh anggota polis, bomba, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Perbadanan Putrajaya.

“Saya sudah ke tempat kejadian dan menyaksikan sendiri operasi mengeluarkan kereta yang tertimbus.

“Kami ingin mengeluarkan kereta itu secepat mungkin supaya ia dapat dibaiki atau diservis,” katanya.

Baca Seterusnya!

Baca Seterusnya!
HADIAH BASIKAL SEBAGAI GALAKAN PELAJAR CEMERLANG
PUTRAJAYA 15 Feb 2007 – UMNO Bahagian Putrajaya mengambil pendekatan menjadikan basikal sebagai hadiah kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang di setiap kelas bagi 13 buah sekolah dalam Parlimen Putrajaya.

Ketua UMNO Bahagian Putrajaya Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, bagi setiap kelas untuk sekolah rendah dan menengah sebuah basikal akan diletakan disatu sudut kelas mulai minggu hadapan untuk dijadikan hadiah kepada pelajar yang mencapai keputusan terbaik setiap kelas bagi sesi persekolahan tahun ini.

Dato' Khairuddin Samad Pengerusi Biro Pendidikan (kiri) bersama Dato' Seri Tengku Adnan beramah mesra dengan pelajar yang menerima hadiah basikal bagi tahun 2006

Salah seorang Pengetua / guru besar menerima basikal daripada Tengku Adnan sambil diperhati Dato' Hishamudin Aun, Dato Khairuddin dan En. Danny Chua

Sebahagian daripada pimpinan UMNO Bahagian Putrajaya dan warga pendidik yang hadir di majlis tersebut

Tengku Adnan sempat bermesra dengan sebahagian pelajar dari 13 buah sekolah dalam Parlimen Putrajaya yang hadir di majlis tersebut


Katanya, sebanyak 73 buah basikal disediakan oleh Biro Pendidikan UMNO Bahagian Putrajaya kepada 13 buah sekolah sekitar Putrajaya. Basikal tersebut akan menjadi motivasi kepada setiap pelajar untuk mencapai keputusan terbaik bagi setiap kelas.

Di majlis itu juga UMNO Bahagian Putrajaya menerima sumbangan tajaan akhbar News Straits Times selama setahun untuk diberi kepada setiap sekolah yang disumbangkan oleh En. Danny Chua dari Syarikat AJM Sdn Bhd. Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan NSTP Dato’ Hishamudin Aun.

Baca Seterusnya!

Baca Seterusnya!


Pautan Putrajaya
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email Pusat Khidmat
Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Akhbar Hari Ini
Template Asal Oleh
Free Blogger Templates
Hak Milik
    BLOGGER