PASARAN ARAB SAUDI PENGGERAK PELANCONGAN MALAYSIA - TENGKU ADNAN
JEDDAH 6 Mei – Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia dari Arab Saudi mungkin lebih kecil berbanding negara lain namun ia masih pasaran yang penting kepada penggerak industri pelancongan di Malaysia, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Pelancong dari Arab Saudi dan negara Timur Tengah yang lain sangat penting kepada Malaysia memandangkan mereka tinggal lebih lama di negara ini dan berbelanja tiga kali ganda berbanding pelancong lain, kata beliau kepada pemberita di sini malam semalam.

Tahun lalu, Malaysia menerima 17.54 juta pelancong, 186,821 daripada mereka dari Timur Tengah, dan ini membawa kepada pendapatan keseluruhan berjumlah RM36.3 bilion.

Ketibaan pelancong dari Arab Saudi ke Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 26.1 peratus kepada 67,679 orang pada 2006, meningkat daripada 53,682 orang pada 2005.

Tengku Adnan berkata: “Kami telahpun menyaksikan banyak peningkatan (daripada segi ketibaan pelancong) di sini dan kami mahu memperkukuhkan kedudukan kami di sini. Saya berada di sini untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh penggerak industri dalam membawa pelanggan mereka ke Malaysia, selain mendengar cadangan yang mereka kemukakan.”

Beliau berkata, Malaysia berminat menarik kedatangan bukan sahaja warga Arab Saudi ke Malaysia tetapi juga kalangan ekspatriat yang bekerja di sini memandangkan Malaysia adalah destinasi percutian sepanjang tahun yang selamat dan mempunyai banyak untuk ditawarkan, misalnya beraneka makanan dan warisan kebudayaan disebabkan penduduk negara ini yang pelbagai kaum serta budaya.

Tengku Adnan berkata, penduduk Arab Saudi juga seharusnya mengambil peluang daripada kira-kira 500 institusi pengajian tinggi yang ada di negara ini, dan ada di antaranya menawarkan program berkembar dengan universiti dari Amerika Syarikat, United Kingdom serta Australia.

Selain itu, ibu bapa di Arab Saudi hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan yang lebih rendah untuk menghantar anak mereka mengikuti program berkembar di Malaysia berbanding dengan ketiga-tiga negara berkenaan dan mereka tidak akan menghadapi gangguan di sini hanya kerana mereka beragama Islam serta berketurunan Arab, tidak seperti di dunia Barat, katanya.

Tengku Adnan berkata kementeriannya mahu melihat lebih banyak kerjasama daripada pengendali penerbangan di Malaysia misalnya Malaysia Airlines, Firefly dan AirAsia bagi mempromosikan destinasi seperti Kuantan, Kuala Terengganu dan Kota Baharu dengan menyediakan penerbangan sambungan kepada penerbangan dari Timur Tengah ke Kuala Lumpur.

Di samping kerjasama syarikat penerbangan beliau berkata, kementerian juga menjalin usaha sama dengan pengusaha pelancongan di Arab Saudi bagi mempromosikan destinasi pelancongan baru di Pantai Timur Malaysia dan bukannya memberi tumpuan kepada destinasi yang sudahpun mantap seperti Kuala Lumpur, Genting Highlands serta Pulau Pinang.Daripada MUAMMAR KAMARUDIN
– Bernama
0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Pautan Putrajaya
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email Pusat Khidmat
Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Akhbar Hari Ini
Template Asal Oleh
Free Blogger Templates
Hak Milik
    BLOGGER