10,000 PELANCONG KE PUTRAJAYA SETIAP HARI SEPANJANG TMM'07
“Kita mesti mempunyai pemikiran bahawa pelancong ke Putrajaya adalah sama seperti tetamu yang datang ke rumah kita" Tengku Adnan

DALAM satu adegan drama bersiri tempatan popular di kaca televisyen baru-baru ini, terdapat satu babak kononnya seorang usahawan wanita terkemuka sedang berada di luar negara.

Bergaya dengan kereta mewah sambil berhubung menerusi telefon bimbit dengan menantunya, lakonan aktres wanita itu benar-benar menggambarkan dia berada di sebuah negara maju.

Tetapi sebenarnya babak itu dirakam di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Bagi penonton yang tidak pernah berkunjung ke bandar bestari itu, mungkin tidak menyedarinya.

Itu semua tidak penting malah pengarah drama itu wajar diberi pujian kerana keberaniannya memanfaatkan keindahan Putrajaya.

Memanipulasi keunikan bangunan di pusat pentadbiran itu satu langkah bijak kerana kepelbagaian reka bentuknya membabitkan sentuhan tempatan, Islam, Parsi dan Eropah.

Beliau sebenarnya tidak berseorangan, malah ramai lagi pengarah drama atau filem termasuk dari luar negara sudah berbuat demikian kerana menyedari keindahan Putrajaya mampu menarik perhatian penonton.

Jika pakar seni tempatan dan luar negara mampu menilai keistimewaan Putrajaya, seharusnya semua pihak berganding bahu menjadikan bandar pentadbiran Kerajaan Persekutuan lokasi utama yang patut dilawati pelancong asing sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM’07).

Ini bersesuaian lokasinya berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) - pintu masuk utama pelancong.

Kementerian Pelancongan, Perbadanan Putrajaya dan ejen pelancongan wajar berusaha keras untuk memastikan pelancong asing ‘jatuh cinta pandang pertama’ dengan keindahan Putrajaya.

Ibaratnya lelaki mana yang sanggup meninggalkan isteri atau kekasihnya jika cinta pandang pertama itu rupa-rupanya seorang wanita serba lengkap - cantik, berhati murni, beragama dan beradab.

Begitu juga dengan pelancong asing. Jika mereka tertarik dengan Putrajaya, pasti tanggapan pertama mereka mengenai Malaysia cukup positif sebelum berkunjung ke tempat menarik lain di seluruh negara.

Perkara itu tidak sukar untuk dilakukan kerana Putrajaya sendiri sudah mempunyai pakej lengkap yang diidamkan pelancong asing.

Jika tidak, Menteri Pelancongan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pasti tidak berani meletakkan sasaran 10,000 pelancong ke Putrajaya setiap hari sepanjang TMM’07.

Tanpa promosi besar-besaran sekalipun, purata kedatangan pelancong dalam dan luar negara ke bandar selamat itu sepanjang tahun lalu dianggarkan kira-kira 6,000 sehari.

Bagaimanapun, seperti kata Tengku Adnan, sasaran itu tidak mampu dicapai jika penduduk Putrajaya sendiri tidak mahu memberi kerjasama, terutama menjaga kebersihan serta kemudahan asas supaya sentiasa baik.

“Kita mesti mempunyai pemikiran bahawa pelancong ke Putrajaya adalah sama seperti tetamu yang datang ke rumah kita.

“Jadi, kita mesti jaga dan beri layanan sebaik mungkin supaya mereka bukan saja menceritakan kenangan manis ketika di rumah kita, malah mencadangkan kepada keluarga dan rakan datang ke Putrajaya jika ingin bercuti kerana keadaannya selesa,” katanya.

Namakan apa yang diinginkan pelancong, semuanya boleh diperoleh di Putrajaya, kecuali hiburan berat seperti disko atau pub yang menjadi dasar kerajaan bagi menjaga imej bandar bestari itu.

Apapun, tidak semua pelancong inginkan hiburan seperti itu. Sebagai contoh, pelancong Eropah atau Asia Timur, mereka tidak akan mendambakan hiburan berat kerana ia mudah diperoleh di negara sendiri.

Sebaliknya, tarikan utama sesuatu destinasi pelancongan terletak pada keunikan dan kemudahannya - aspek yang ada pada Putrajaya.

Selain kepelbagaian reka bentuk bangunan di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan keindahan Masjid Putra, Putrajaya mempunyai pelbagai keistimewaan.

Antaranya keunikan Jambatan Putra, Seri Bakti, Seri Bestari, Seri Gemilang, Seri Perdana, Seri Setia, Seri Wawasan dan Seri Saujana serta kecantikan Taman Botani, Putra Perdana, Rimba Alam, Warisan Pertanian dan Wetland.

Keindahan Putrajaya juga boleh dihayati dengan menaiki bot sambil mengelilingi Tasik Putrajaya seluas 650 hektar.

Tempat penginapan bukan masalah bagi pelancong kerana terdapat tujuh hotel bertaraf antarabangsa dibina di sekitar atau berhampiran Putrajaya.

Selain Shangri-La, Palm Garden dan JW Marriot di Putrajaya, pengunjung boleh menetap di Cyberview Lodge Resort di Cyberjaya, Equatorial Bangi, Concorde Inn dan Pan Pasific KLIA di Sepang.

Untuk membeli-belah dan menikmati pelbagai juadah, kompleks beli-belah Alamanda sedia menanti.

Begitulah antara kelebihan Putrajaya - bandar seluas 46 kilometer persegi yang suatu ketika dulu dikenali sebagai Prang Besar, sebelum dihuni secara berperingkat sejak 1999.

(Di petik dari Harian Metro)
0 Comments:
Post a Comment
<< Kembali
 


Pautan Putrajaya
Baginda s.a.w. bersabda; Orang yang berusaha membantu para janda dan orang miskin diibaratkan sebagai orang yang berperang di jalan Allah, seperti orang yang bangun sembahyang sepanjang malam dan seperti orang yang berpuasa tanpa berhenti. (H.R. Bukhari & Muslim)
Dilawati Sejak Ogos 2006
    counter
Aktiviti Terkini

15 Jan 07 (Isnin)
Setiap aktiviti akan dipaparkan disini
  


Berita Terdahulu
Arkib
Email Pusat Khidmat
Kalendar
Semak Keahlian UMNO


Semak Daftar Pengundi



Bancian Pemilih


Akhbar Hari Ini
Template Asal Oleh
Free Blogger Templates
Hak Milik
    BLOGGER