Persidangan Dewan Rakyat, Khamis, 30 Mac 2006
Menteri Pelancongan [Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor]: Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya bagi pihak Kementerian Pelancongan mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat yang telah sama-sama membahaskan perkara-perkara mengenai Kementerian Pelancongan dan memberikan pandangan-pandangan dan rancangan-rancangan yang amat berguna.........
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Saya cakap tentang penyalahgunaan UMNO Seputeh, bekas Pengerusi UMNO Seputeh bangun cakap hendak....
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: .......... kepada usaha-usaha kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan negara.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat...
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat....
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Cakap hendak bagi...
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat bagi Sandakan telah membangkitkan mengenai kekurangan ........
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Cukuplah Yang Berhormat.
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Inilah Menteri yang mendirikan... yang menjadikan cawangan UMNO Seputeh...
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: ..........promosi tempat-tempat pelancongan di Sandakan. Adanya flora dan fauna yang menarik di Sandakan. Untuk maklumat Ahli Dewan yang mulia ini, Sabah merupakan....
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, kita sudah pergi Sandakan. Wilayah sila duduklah, cukuplah.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Duduklah Wilayah, okeylah. Banyak ceritalah you daripada Seputeh semua. Kita sudah cerita sini berkali-kali.
Seorang Ahli: Jangan kacaulah.
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Bermula daripada Yang Berhormat semasa menjadi Pengerusi UMNO Seputehlah. Jadi...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Cukup, cukuplah Yang Berhormat. [Nada tegas]
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Untuk maklumat Yang Berhormat, tadi Yang Berhormat Menteri telah sebut. Pusat khidmat itu wujud 15 tahun. Saya jadi Ketua Bahagian Seputeh 10 tahun sahaja, faham? Dan tidak pernah ada pejabat UMNO. Itu adalah Pusat Khidmat Masyarakat Seputeh, okey. Please understand that!
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Jadi itu pejabat saya jugalah.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Cukuplah Yang Berhormat.
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Bila boleh saya dapat kunci hendak masuk ke sana?
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: You pun kadangkala datang, intai-intai pun you datang juga, apa. You pun datang intai-intai juga dalam kawasan itu apa.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, sekarang kita berada di Kementerian Pelancongan Yang Berhormat.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Ya, minta maaf Tuan Yang di-Pertua, dengan izin.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Ya, Pelancongan. Bukan Wilayah Persekutuan lagi. Ya, dengan izin. Untuk maklumat Ahli Dewan Yang Berhormat mulia ini....
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Ini pagar makan padilah.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat....
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Memang pagar makan padi.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Apa ini? [Ketawa]
Cik Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Makan pagar. [Menyampuk]
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Itu setinggan...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, duduklah.
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: ......... setinggan boleh menghalang projek Kerajaan Barisan Nasional. Mana ini boleh?
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Mana ada halang?
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Selepas itu kontraktor kena kerajaan bayar.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Belum tiba waktu. Dia tadi Yang Berhormat Menteri Wilayah telah sebut.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang Berhormat, sudah buat keputusan. Saya minta Yang Berhormat Menteri Pelancongan menjawab.
Cik Fong Po Kuan [Batu Gajah]: [Menyampuk]
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia ini....
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Ini penyalahgunaan..... Sabah Tidak Pernah Dipinggirkan Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: ......... Sabah merupakan salah satu destinasi yang unggul di Malaysia. Dalam usaha mempromosikan negeri Sabah, kementerian tidak pernah meminggirkan Sandakan daripada aktiviti-aktiviti promosi pelancongan sama ada di dalam dan di luar negara. Promosi-promosi pelancongan adalah dibuat melalui agensi kementerian iaitu Tourism Malaysia dengan meneruskan kempen pengiklanan di media cetak dan elektronik dengan menggunakan tag line dengan izin, “Malaysia Truly Asia”.
Di antara destinasi-destinasi pelancongan ini di Sandakan dipromosikan ialah meliputi pusat pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sungai Kinabatangan bagi melihatkan hidupan liar seperti proboscis monkey, Seputeh ada proboscis monkey [Ketawa], Gua Mantong dan turtle island. Walau pada setiap tahun, Kementerian Pelancongan melalui Program Mega Fame telah membawa kumpulan media, krew filem dan juga para pengusaha pelancongan dari luar negara bagi mempromosikan tempat-tempat tarikan pelancong berkonsepkan eco-tourism, flora dan fauna yang terdapat di Sandakan.
Di samping itu, usaha mempromosikan Sandakan bukan hanya terletak pada bahu Kementerian Pelancongan sahaja. Malah, ianya juga memerlukan kerjasama yang padu dari semua pihak terutamanya daripada pengusaha-pengusaha pelancongan bagi menarik pelancong-pelancong agar tinggal lebih lama di negara ini serta memberikan impak yang sewajarnya kepada kemajuan industri pelancongan di Sandakan dan Malaysia pada amnya.
Tegasnya di sini kementerian pelancongan ini akan sentiasa mempromosikan Sandakan sebagai salah satu destinasi pelancong yang harus dikunjungi oleh para pelancong dari dalam dan luar negara. Kita Tidak Pernah Lupa Langkawi Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bagan telah meminta penjelasan mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kementerian supaya mendapat menarik kembali pelancong-pelancong asing mengunjungi Pulau Pinang yang terjejas akibat Avean Influenza ataupun dengan izin selesema burung.
Untuk makluman Yang Berhormat Kementerian Pelancongan melalui agensinya iaitu Tourism Malaysia akan mengeluarkan maklumat-maklumat terkini berhubung perkara ini dan akan memanjangkan mengenainya kepada seluruh pejabat-pejabat Tourism Malaysia di luar negara. Pihak kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan menggambarkan sebenarnya mengenai perkara ini. Selain itu, kementerian juga mengambil pendekatan dengan menjemput wakil-wakil media luar negeri datang ke Malaysia khususnya Pulau Pinang untuk melihat dan mengalami sendiri keadaan terkini dan tahap kesihatan di negeri tersebut dan Malaysia umumnya. Dengan demikian mereka akan mendapat gambaran sebenar mengenainya dan boleh memaklumkan kepada umum supaya tidak timbul tanggapan yang salah sehingga boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Langkawi telah mencadangkan agar pihak Kementerian Pelancongan dan pihak Kementerian Pengangkutan berbincang bersama-sama pihak Sistem Penerbangan Malaysia supaya mengadakan penerbangan terus dari negaranegara tertentu ke Pulau Langkawi. Tuan Yang di-Pertua, berhubung dengan saranan ini, terlebih dahulu saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat di atas cadangan yang dikemukakan. Untuk makluman Yang Berhormat, kementerian saya memang mengambil perhatian terhadap masalah yang timbul….
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat Menteri, Sri Gading.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Sila.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Terima kasih Yang Berhormat, apa pun kita akan sampai tengah malam Yang Berhormat. Tetapi kerana tugas yang murni kita sanggup...
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, apa hendak bincang sekarang?
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Yang di-Pertua, itu baru pembukaan Tuan Yang di-Pertua, saya berikan pujian kepada Yang Berhormat yang sabar. Satu usaha murni kerajaan dan usaha murni kerajaan ini terletak di bawah bidang Kementerian Pelancongan iaitu Hotel Malaysia.
Seorang ahli: Seri Malaysia!
Hotel Seri Malaysia Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Seri Malaysia, begini murni hasrat dan tujuan kerajaan. Dan di antaranya bukan sahaja hendak memberikan kemudahan kepada pelancong luar negara tetapi juga pelancong dalam negeri. Tetapi rata-rata Tuan Yang di-Pertua, Dato’ Menteri pelancongan yang baru, tahniah di atas pelantikan itu, dia telah menjadi usang.
Sudah tidak ada daya tarikan, sudah tidak menepati objektif penubuhan di peringkat awal. Apakah ada usaha-usaha yang akan dilakukan oleh Yang Berhormat Menteri atas perkara ini supaya diceriakan semula, digemilangkan semula, di cahayakan semula Hotel Seri Malaysia. Nama begitu gah memakai nama negara.....
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Baiklah cukup Yang Berhormat.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tetapi service dan keadaan premisnya, pengurusan, makanan, layanannya……….
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Baiklah Yang Berhormat, memang, memang.......Menteri fahamlah, faham.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tidak sepadan dengan nama Seri Malaysia. Seri ini dalam Bahasa Melayu Tuan Yang di-Pertua ialah suatu yang bercahaya dan Malaysia ini nama negara.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Menteri sudah bangun untuk menjawab, sila duduk.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Terima kasih Yang Berhormat dari Sri Gading, perhatian terhadap Hotel Seri Malaysia. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat Sri Gading kita sedang melihat dan pihak kementerian sedang melihat dan kalau perlu untuk diberi satu latihan semula kepada pengusaha-pengusaha francais Seri Malaysia ini kita akan laksanakan perkara ini. Sebenarnya kementerian sedang meneliti dan mengawasi apa yang sedang berlaku terhadap perhotelan Seri Malaysia kerana kita memang menyediakan tahap bintang yang tertentu kepada hotel-hotel. Insya-Allah kita akan pantau apa Yang Berhormat telah sebutkan dan kita akan memastikan bahawa nama Seri Malaysia ini menjadi gemilang dan juga terbilang, terima kasih Yang Berhormat.
Kementerian saya memang mengambil perhatian terhadap masalah yang timbul berkenaan dengan pemberhentian penerbangan oleh Sistem Penerbangan MAS beberapa destinasi di dalam negara. Satu pertubuhan dengan pihak-pihak yang berkaitan telah pun dijadualkan iaitu pada bulan April 2006...
Dato’ Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Menteri...Langkawi.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Saya habiskan sekejap sahaja Yang Berhormat. Ini bagi membincangkan masalah-masalah tersebut. Kementerian akan mencari jalan bagi mengatasi agar kedatangan pelancong tidak terjejas. Cadangan Yang Berhormat akan dibangkitkan dengan pertemuan berkenaan untuk penelitian dan pertimbangan yang lanjut, sila Yang Berhormat.
Dato’ Abu Bakar bin Taib [Langkawi]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri. Apa yang telah dibangkitkan pada tahun-tahun lepas ialah memberi laluan kepada Arab Emirates untuk melakukan free freedom mungkin ke Dubai, ke Langkawi to Sydney boleh kita dapatkan menceriakan lagi Langkawi itu Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Terima kasih Yang Berhormat Langkawi. Yang sebenarnya ini bukan bidang kuasa Kementerian Pelancongan. Untuk makluman yang Langkawi, apabila saya berada di ITB baru-baru ini, saya juga telah bertemu dengan urusan atasan syarikat-syarikat penerbangan yang tertentu di mana kita juga berbincang dengan masalah-masalah penerbangan di dalam negara. Seperti yang telah saya sebutkan tadi, kita akan bertemu dengan pihak-pihak yang tertentu pada bulan April ini dan insya-Allah kita akan bangkitkan apa yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat daripada Langkawi. Pelancongan Domestik Diberi Keutamaan Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat dari Padang Terap telah mencadangkan kepada kerajaan untuk mengkaji semula waktu penutupan pintu keluar masuk kepada Malaysia - Thailand seperti di Bukit Kayu Hitam dan di sempadan-sempadan lain di Utara, seawal 6 petang bagi mengelakkan pelancongan dari Malaysia masuk ke Thailand dan menyebabkan gejala sosial dan pengaliran tukaran wang asing dari Malaysia ke negara tersebut. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat di atas cadangan yang dikemukakan. Untuk makluman dewan yang mulia ini, pihak kementerian sentiasa berusaha untuk menggalakkan pelancong-pelancong domestik termasuk juga pelancong dari negeri-negeri utara tanah air untuk melancong dalam negara. Melalui program galakan pelancong domestik Cuti-Cuti Malaysia. Melalui program ini, pengaliran wang ke negara asing akan dapat dikurangkan. Di antara beberapa strategi yang telah diambil, bagi mempromosikan cuti-cuti Malaysia ialah dengan menggalakkan agensi-agensi pelancongan menyediakan lebih banyak pakej-pakej pelancongan yang memenuhi cita rasa pelancong tempatan pada kos yang berpatutan. Oleh yang demikian kementerian bersependapat dengan cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat supaya penutupan pintu keluar masuk di sempadan Malaysia Thailand dan tutup seawal 6 petang.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Yang di-Pertua, saya pula berpendapat lain. Soal maksiat bukan soal penutupan pukul 6, pukul 8 atau pukul 10, itu soal yang terasing. Tetapi kalau tutup pukul 6 dia tidak sempat balik, dia tidur lagi di sana lagi besar belanja kena keluar. Kita tidak sempat balik dan yang pergi ke sempadan ini Yang Berhormat Menteri termasuk Yang Berhormat Menteri agaknya ialah...orang-orang perempuan kita. Kalau dia pun tidak sempat balik, dia pun kena tidur hotel di sana, makan di sana lebih lagi belanja. Jadi kena berhati-hati kerana soal maksiat bukan soal masa kerana biar kita berfikiran terbuka, abad yang ke-21.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Mungkin pergi itu adalah Yang Berhormat, Yang Berhormat berpengalaman kah?
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Bukan soal pengalaman tetapi biasalah kadang-kadang kita tidak sempat balik Tuan Yang di-Pertua terpaksa tidur. Tidur bayar hotel, bayar makan maknanya konon hendak menahan duit keluar kepada negara asing malahan lebih. Jadi apakah untung ruginya harus? Saya tidak berkompromi dengan maksiat tetapi soalnya bukan tutup pukul 6 petang. Ini saya punya pendapat, saya ingat Yang Berhormat Menteri lebih terbuka fikiran.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Ya, terima kasih Yang Berhormat dari Sri Gading. Walaupun saya sebut tadi kementerian bersependapat dengan cadangan yang telah diberi oleh Yang Berhormat daripada Padang Terap, bukan cadangan saya. Jadi walaupun bersependapat dengan Yang Berhormat daripada Padang Terap tetapi soal penutupan awal atau pun diperlambatkan atau pun dipercepatkan adalah bukan bidang kuasa Kementerian Pelancongan, ini masalah yang saya hendak sebut. Tetapi Yang Berhormat sudah naik dan telah tanyakan soalan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Boleh bantu dia mendapatkan satu pas istimewa.
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Insya-Allah boleh, boleh Tuan Yang di-Pertua.
Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Boleh dapat Yang Berhormat?
Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor: Boleh! Tuan Yang di-Pertua, hendak minta pas istimewa saya ingat kena minta dengan Yang Berhormat Padang Terapkan, orang utara. Tuan Yang di-Pertua, akhir kata selagi lagi saya ingin merakamkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua Yang Berhormat ahli dewan yang mulia ini yang telah bersama-sama memberi sumbangan yang positif dalam perbahasan-perbahasan yang berkaitan secara langsung dan ataupun tidak langsung dalam membangunkan industri pelancongan negara. Segala teguran, cadangan dan saranan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat akan membantu Kementerian Pelancongan di dalam mencapai visi kementerian menjadikan Malaysia sebuah negara pelancongan yang terunggul dan menarik untuk dikunjungi. Dengan izin, “Malaysia Truly Asia”, dengan izin “Malaysia Welcomes The World”. Terima kasih.
|