KHIDMAT WAKIL BN DIGUNA MAJUKAN PELANCUNGAN KELANTAN
|
KOTA BHARU 4 April - Kementerian Pelancongan akan menggunakan khidmat semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Kelantan bagi membantu membangunkan produk pelancongan di negeri ini demi kepentingan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah itu dibuat berikutan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pas membangunkan kawasan yang berpotensi dimajukan sebagai produk pelancongan. Katanya, pihak kementerian sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri tetapi cara bekerja yang berbeza menimbulkan kesukaran.
``Apa yang mereka (kerajaan negeri) buat selalu bercanggah dengan usaha kementerian yang ingin memberi peluang kepada rakyat meraih keuntungan daripada industri pelancongan.
``Oleh kerana kerajaan negeri melaksanakan program pelancongan mengikut cara mereka sendiri, kementerian akan menggunakan khidmat wakil rakyat BN dan bukan bantuan pejabat daerah atau majlis daerah di negeri ini,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bertemu pengusaha pelancongan dan agensi berkaitan di sini malam tadi.
|
|
|
|
|