KUALA LUMPUR 16 Mei - Tiada lagi istilah asing di Putrajaya yang akan digunakan pada nama jalan dan tempat di Putrajaya. Ianya akan ditukar ke bahasa Melayu dalam tempoh terdekat ini.
Menurut, Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan, Yew Teong Look, ketika ini tumpuan diberikan kepada beberapa istilah asing seperti Precint, Boulevard, Promenade dan Parcel.
Menurut beliau, bagi tujuan itu, katanya, satu Jawatankuasa Istilah dan Penamaan Perbadanan Putrajaya telah ditubuhkan baru-baru ini. Jawatankuasa itu akan bertanggungjawab menyelaras penggunaan istilah-istilah yang tepat di Putrajaya.
Katanya, penubuhan jawatankuasa ini adalah sejajar dengan langkah kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Menurutnya lagi, Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Perbadanan Putrajaya dan diwakili oleh Pengarah Jabatan Landskap, Taman Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Beliau dipetik sebagai berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rashid Ngah pada persidangan Dewan Negara baru-baru ini. Katanya, cadangan daripada jawatankuasa itu akan diajukan kepada Pengurusan Perbadanan Putrajaya.
Jelasnya, sekiranya Pengurusan Perbadanan Putrajaya bersetuju dengan syor itu, ia akan dikemukakan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membuat keputusan sebelum dikemukakan kepada Kabinet.
Mac lalu, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pihaknya akan menghantar surat rasmi mencadangkan kepada Perbadanan Putrajaya mengubah nama-nama itu kepada bahasa Melayu.
|